Isnin, 18 Ogos 2008

Metod Menubuhkan Negara Islam (Bah.2)




Metod Akal Vs Wahyu dalam Menubuhkan Negara

Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan, bertolak dari standard Islam dan bukan Islam, atau meminjam istilah Ibn Khaldun disebut siyasah syar’iyyah dan siyasah 'aqliyyah, maka pola dan pendekatan yang kemudian disebut metod gerakan tersebut, dapat dibahagikan kepada dua, iaitu metod akal dan metod syarak (wahyu).

Secara zahir untuk mengelompokkan metod kepada metod akal dan syarak ini sangat sukar, lebih-lebih ketika metod berkenaan sebahagiannya bersumber dari Islam dan dapat disebut sebagai Metod Islam, meskipun kemudian penerapannya salah, atau lebih tepat bukan pada tempatnya. Seperti jihad yang digunakan untuk menegakkan negara Islam adalah metod yang tidak sesuai, sekalipun metod ini sesuai untuk menyebarkan Islam. Akan tetapi, jika sumber pemikiran pengambilan metod tersebut dianalisis dengan cermat, akan nampak perbezaannya. Dari sinilah, pembahagian metod akal dan syarak dapat dirumuskan dengan tepat.

Dikatakan metod akal, kerana metod ini lahir bukan dari proses ijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang berkembang di tengah masyarakat, akan tetapi lebih kepada menjadikan realiti masyarakat sebagai standard untuk melakukan tindakan. jika kemudian digunakan pandangan syarak, tidak lebih hanya untuk menjustifikasi tindakan yang sudah terlanjur menjadi setereotaip perjuangan. Kesimpulan ini diambil berdasarkan hukum-hukum dan nas-nas yang digunakan, biasanya mengikut kepentingannya, yang nampak dari sikap pilih-pilih terhadap nas. Adakalanya "Metod Rasulullah SAW" dikatakan tidak sesuai untuk zaman sekarang, tetapi yang menghairankan pada masa yang sama tindakannya dijustifikasi dengan "sirah Rasulullah SAW" yang lain.

Sebaliknya, dikatakan metod syarak, sebab metod ini benar-banar lahir dari proses ijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang berkembang. Metod ini digali dari nas secara keseluruhan, sama ada al-Qur'an mahupun as-Sunnah (baik qawliyyah, fi’liyyah mahupun taqririyyah), melalui kaedah-kaedah usul yang muktabar. Metod ini juga tidak keluar sedikitpun dari "Metod Rasulullah SAW" dalam menubuhkan negara Islam.

Ini kerana Metod tersebut diasaskan kepada Rasulullah SAW sebagai qudwah, yang secara mutlak wajib diikuti, sebagaimana yang dirumuskan oleh ulama usul dengan tiga ciri :

a. Mumatsalah (duplikasi bentuk)
b. ‘Ala wajhih (duplikasi sifat)
c. Min ajlih (duplikasi masa)

Ini dari satu aspek, iaitu ittiba’ (lihat Al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Juz 1, hlm. 172)

Dari aspek yang lain, iaitu aspek al-qiyam bi al-fi’l (pelaksanaan perbuatan), status melaksanakan "perbuatan Rasul" dibezakan seperti berikut :

1) Jibiliyyah, iaitu perbuatan yang dilakukan oleh Rasul SAW sebagai manusia biasa, dan tidak ada kena-mengena dengan Nabi SAW sebagai Rasul, seperti Nabi SAW memerlukan makan, minum, tidur, berjalan, duduk, berdiri, berbaring dan sebagainya. Semuanya ini merupakan perbuatan mubah bagi Nabi SAW, juga bagi umatnya. Oleh itu, hukum melaksanakan "perbuatan Rasul" dalam kes berkenaan bagi umatnya adalah mubah.

2) Ghayr al-jibiliyyah, iaitu perbuatan yang bukan berkenaan dengan ciri-ciri Nabi SAW sebagai manusia, tetapi sebagai Rasul. Di sini, perbuatan Nabi SAW dapat dibahagikan kepada dua :

(a) Khawwas ar-Rasul, iaitu perbuatan yang ditetapkan sebagai kekhususan bagi Rasul, yang tidak boleh dilakukan oleh umatnya, seperti keharusan puasa wisal (Bukhari, Sahih, hadis no. 21861 dan 1864, Muslim, Sahih, no. 1103. Semuanya dari Ibn Umar).

(b) Ghayr Khawwasar-Rasul iaitu perbuatan yang ditetapkan bukan khusus untuk Rasul, yang "perbuatan Rasul" tersebut boleh dilakukan oleh umatnya mengikut ketentuan :

i. Bayan khitab sabiq, iaitu perbuatan Rasul yang dimaksudkan sebagai penjelasan bagi seruan sebelumnya, sama ada untuk menetapkan atau menafikan. Adakalanya diterangkan dengan pernyataan yang jelas (sarih al-qawl) seperti “Solatlah kamu sepertimana cara aku solat” (HR Bukhari hadis no. 595). Adakalanya diterangkan dengan petunjuk tindakan, iaitu tindakan yang hanya dilakukan ketika diperlukan untuk menerangkan seruan sebelumnya seperti Nabi SAW memotong tangan kanan pencuri (Musnad Ahmad, Juz II, hlm. 177) untuk menerangkan seruan al-Qur'an, surah al-Maidah (05):38. Hukum melaksanakan perbuatan Nabi SAW dalam kes ini mengikut seruan yang diterangkan oleh "perbuatan Rasul", jika seruan yang diterangkan bererti wajib, maka penjelasan Nabi SAW hukumnya wajib dilaksanakan oleh umatnya, dan jika mandub bererti mandub, begitu juga jika mubah, bererti juga mubah.



ii. Ghayr al-bayan li khitab sabiq, iaitu perbuatan yang bukan menjadi penjelasan bagi seruan sebelumnya, selain tuntutan untuk melakukan perbuatan secara tulen. Dalam konteks ini, perbuatan tersebut dilaksanakan oleh umatnya mengikut petunjuk-petunjuk yang menentukannya, sama ada wajib, mandub ataupun mubah (lihat al-Amidi, op. cit., Juz I, hlm 173, ‘Ata’ bin Khalil, Tasyri’ al-Wusul ila al-Usul, hlm. 75-76).

Dengan demikian, berdasarkan dua aspek di atas, iaitu aspek ittiba' dan aspek al-qiyam bi al-fi’l, seluruh aktiviti dakwah Rasulullah SAW dapat difahami dan dianalisis, sehingga dari hasil analisis tersebut "Metod dakwah Rasulullah SAW" dapat dirumuskan dengan tepat. Di samping itu, kegagalan dalam memahami Metod Rasulullah SAW ini juga membawa implikasi yang sangat besar kepada kegagalan setiap usaha yang bertujuan untuk membangkitkan umat, melalui penubuhan negara Al-Khilafah Islam.

Berdasarkan pembahagian Metod akal dan syarak (wahyu) di atas, maka Metod yang ditempuh oleh kumpulan, parti atau jamaah yang berupakan:

1. Jihad (revolusi)
2. Pilihanraya-Demokrasi
3. Islah (reformasi)
4. Metod Rasulullah SAW

dapat dibezakan kepada dua bentuk, iaitu Metod akal dan syarak (wahyu).

Metod Akal dalam Menubuhkan Negara Islam

Berdasarkan standard di atas, selain dari "Metod Rasulullah SAW" dapat dimasukkan ke dalam metod akal, bukan metod syarak. Sebab, metod berkenaan bukan merupakan natijah ijtihad yang sahih berkenaan dengan objek hukum yang hendak diselesaikan.

Metod Jihad

Dari segi hukum syarak, jihad adalah fardu, sama ada kifayah mahupun ‘ainiyyah. Jihad juga dianggap oleh para ulama sebagai perkara ma’lum min ad-din bi ad-darurah. Di samping itu, jihad sebagai metod untuk menyebarkan Islam juga dapat ditemukan dengan jelas dalam nas as-Sunnah (3), termasuk jihad sebagai metod untuk memerangi pihak berkuasa "khalifah" ketika jelas menampakkan kekufuran yang nyata (4).

Semuanya ini merupakan hukum yang jelas, tidak perlu dinafikan. Akan tetapi, yang menjadi soalan adalah mengapa metod jihad ini dimasukkan ke dalam metod akal dalam menubuhkan negara Islam? Dalam kes ini ada tiga alasan.

Pertama, kerana kebanyakan mereka ketika menempuh Metod jihad bukan kerana bersandar kepada nas syarak yang membenarkan tindakan berkenaan, tetapi kerana pertimbangan politik-kekuasaan, yang dalam pandangan mereka akan dapat diraih dengan cepat melalui jihad..

Kedua, dalam konteks ittiba' kepada Rasul, maka kenyataan Nabi SAW (5) "Kita belum diperintahkan untuk melakukan perkara itu (jihad). Kembalilah ke tempat-tempat kamu." wajib dianalisis berdasarkan standard: mumatsalah (duplikasi bentuk), ‘ala wajhih (duplikasi sifat) dan min ajlih (duplikasi masa). Dalam konteks mumatsalah (duplikasi bentuk), jelas penggunaan tindakan ketenteraan dalam menubuhkan negara Islam, bukan merupakan duplikasi bentuk ittiba' kepada Nabi SAW. Penggunaan tindakan ini juga tidak mencerminkan duplikasi masa, iaitu bila tindakan ini digunakan, sama ada sebelum negara Islam berdiri atau setelah berdiri ? Ini juga dikuatkan dengan nas hadis bai'at riwayat Muslim dari Ubadah bin Samit (6).

Ketiga, apabila ada hujah yang menyatakan, bahawa setelah Rasul wafat, al-Qur'an telah sempurna, sehinga semuanya wajib dilaksanakan secara serentak dan sekali. Hujah ini benar, tetapi dangkal jika dilihat dari segi bahawa setiap hukum yang ditetapkan oleh syarak akan selalu terkait dengan manat-nya (7). Melepaskan hukum syarak dari manat-nya akan menyebabkan penerapan hukum tersebut menjadi salah.

Contoh manath – Hukum Kharaj. la merupakan hukum yang berkenaan dengan :

(1) Tanah, selain tanah ‘usyriyyah (seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebagainya),
(2) Tanah pertanian,
(3) Diterapkan berdasarkan penghasilan tanah,
(4) Untuk orang Islam dan bukan Islam, dan
(5) Hanya boleh diambil oleh khalifah, bukan yang lain.

Di sini dapat dikatakan, bahawa manat (sifat keadaan objek) hukum kharaj tersebut tidak boleh dilepaskan dari 5 perkara di atas. Jika 5 perkara tersebut ada, bererti hukum tersebut dapat dilaksanakan, dan sebaliknya jika tidak ada, maka hukum berkenaan tidak dapat diterapkan. Dengan demikian jelas, bahawa melaksanakan jihad yang dipisahkan dari manat-nya hanya akan menyebabkan kekeliruan.

Berdasarkan hasil analisis di atas, dapat disimpulkan bahawa penggunaan metod jihad untuk meraih kekuasaan jelas bukan merupakan metod yang dihasilkan oleh proses ijtihad yang sahih, jika tidak dapat disebut bukan hasil ijtihad, atau hanya hasil taakulan.

Metod Pilihanraya-Demokrasi

Sebelum membahas metod berkenaan, perlu dihuraikan dahulu tentang siapa-siapa kumpulan "Islam" yang terbabit dalam menggunakan metod berkenaan, antara lain :

a) Puak pertama, iaitu golongan yang meyakini bahawa Demokrasi adalah satu-satunya sistem pemerintahan Islam, dengan keyakinan bahawa Demokrasi sebahagian dari sistem pemerintahan Islam, sehingga mempejuangkan Demokrasi sama dengan mempejuangkan Islam itu sendiri.

b) Puak kedua, iaitu golongan yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya bagaimana cara memerintah. Bentuk pemerintahan Islam adalah satu bentuk yang tidak tetap, sehingga Demokrasi dianggap perkara yang tidak disebutkan keharamannya dalam al-Qur'an. Oleh kerana itu, ia dihukumi mubah.

c) Puak yang ketiga, iaitu puak yang berpendapat bahawa Demokrasi adalah satu sistem yang ada sebahagiannya bercanggah dengan Islam, dan ada yang tidak bercanggah dengan Islam, sehingga mereka mendakwa bahawa ada ajaran Demokrasi yang dibenarkan oleh Islam.

d) Puak yang keempat, iaitu puak yang menyakini, bahawa Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Islam, sehingga Demokrasi hanya digunakan untuk menubuhkan negara Islam. Sebaik sahaja mendapat negara, barulah sistemnya ditukar. Pada pandangan mereka adalah mustahil untuk mengubah satu sistem pemerintahan yang sedia ada, sekiranya tidak terlibat dalam sistem tersebut.

Kumpulan, parti politik atau gerakan semacam ini merupakan vice-versa kepada gerakan jihad. Ada juga yang betul-betul taksub dengan kumpulan mereka, kemudian ada yang menggunakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis yang tidak ada kena-mengena dengan isu ini, dan banyak juga yang menyandarkan pendapat mereka kepada kaedah umum, iaitu satu kaedah fekah untuk mengislamkan cara parti mereka.

Untuk membahas kumpulan di atas, pertama sekali perlu dinyatakan, bahawa dari segi realiti Demokrasi adalah sistem bukan Islam sudah jelas, dan merupakan temuan abad ke-20, malahan diperakui telah diimport dari Barat, termasuk menurut orang "Islam" yang memperjuangkannya (8). Jika ada keyakinan kepada sistem yang merupakan keluaran akidah tertentu, bererti membuktikan adanya keyakinan kepada akidah yang melahirkannya. Ini merupakan bentuk kerosakan akidah. Inilah yang berlaku pada puak pertama, yang meyakini Demokrasi. Puak yang kedua juga dapat dinyatakan, bahawa ada kemungkinan merupakan puak yang jahil tentang Islam, atau mengerti tentang Islam tetapi mempunyai niat jahat. Pandangan kedua-dua puak ini tidak perlu dibincangkan, kerana sudah jelas.

Sedangkan puak yang ketiga dan keempat, dapat dinyatakan, bahawa sesungguhnya diakui ataupun tidak, mereka menerima jika dikatakan, bahawa pilihanraya-Demokrasi merupakan metod yang digunakan dalam memperjuangkan tegaknya Islam melalui negara. Inilah yang perlu dibahas di sini.

Untuk menerangkan kekeliruannya, yang sekaligus menempatkannya dalam metod akal, bukan syarak dapat diterangkan, bahawa setiap ideologi, sama ada Islam, Kapitalisme mahupun Sosialisme selalu mempunyai Metod yang unik. Jika pilihanraya merupakan metod Demokrasi dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan kebebasan, dan struggle (perjuangan fizik) merupakan metod Sosialisme dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan dialectical materialism (perubahan material), maka Islam berbeza dengan semuanya. Islam memandang pilihanraya hanya mubah bukan kewajiban. Dalam pandangan Islam, pilihanraya hanya teknik, bukan metod. la boleb berubah dan diubah, mengikut keadaan semasa. Nabi SAW mengadakan “pilihan" (intikhab), ketika manat-nya membuktikan bahawa orang yang dipilih setelah Bai’at Aqabah kedua belum dikenali, selain oleh kaumnya. Setelah mereka dikenali oleh Nabi SAW, "pilihan" tersebut tidak pernah dilakukan (9). Ini membuktikan, bahawa ia bukan hukum yang tetap, akan tetapi mengikut keadaan semasa. Sekalipun tidak perlu dinafikan, bahawa pilihanraya merupakan hukum syarak yang mubah dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Akan tetapi, menjadikan pilihan raya sebagai metod untuk melakukan perubahan, menubuhkan negara dan memperbaharui kontrak sosial rakyat merupakan kesalahan dalam memahami metod. Dalam kes ini dapat dianalisis ada tiga sebab.

Pertama, salah kerana pilihanraya merupakan rnetod Demokrasi-Kapitalisme, yang selari dengan idea kebebasannya, tetapi tidak selari dengan konsep Islam yang mewajibkan keterikatan kepada hukum Allah, bukan kebebasan. Ini nampak ketika di hadapan penyelewengan hukum Allah, suara majoriti langsung tidak mempunyai nilai.

Kedua, kesalahan dalam memahami hakikat metod, yang berupa hukum wajib, bukan mubah, sehingga bersifat tetap.

Ketiga, ketidaktahuan tentang "Metod Rasulullah SAW" atau mengetahuinya tetapi takut risiko, sehingga memilih jalan yang paling aman dan selamat. Bukti yang terakhir ini nampa dari kaedah fekah yang selalu diulang-ulang (10) :

Akhaffu ad-dararayn (Bahaya yang paling ringan di antara dua bahaya)

Atau kaedah :

Ahwan as-Syarrayn (Keburukan yang paling rendah di antara dua keburukan)

Dari realiti di atas, nampak bahawa metod ini sangat jauh dari "Metod Rasulullah SAW" sama ada dari aspek ittiba' yang mesti menduplikasikan "perbuatan Nabi SAW" dari segi bentuk, sifat dan masa, mahupun aspek al-qiyam bi al-fi’l yang hukumnya wajib mengikut petunjuk (qarinah) yang ada, iaitu keterikatan Nabi SAW kepada metodnya, sekalipun sentiasa berdepan dengan bahaya secara nyata (11).

Metod “Islah” (Tadarruj)

Kumpulan reformasi yang ingin mengubah pemerintahan yang tidak Islamik dari dalam, iaitu dengan memasuki sistem pemerintahan kufur atau zalim, kemudian diubah secara bertahap supaya menjadi lebih islamik, dan lama kelamaan Islam akan diterapkan secara menyeluruh. Kumpulan ini dengan lain perkataan telah memcampuradukkan antara haq dan batil dengan alasan pengislaman (Islamization). Metod islah ini juga dipopularkan sebagai metod taddarruj (beransur-ansur).

Konsep tadarruj atau juga islah ini tidak terikat dengan fasa tertentu. Adakalanya satu hukum dilaksanakan melewati satu fasa, dan adakalanya lebih, bergantung kepada keadaan yang ada. Konsep ini meliputi banyak aspek, ada yang berkaitan dengan akidah, seperti ungkapan :

"Sosialisme berasal dari konsep Islam" atau "Demokrasi sebahagian dari Islam".

Ada juga yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum syarak seperti membiarkan seorang muslimah berpakaian setengah menutup aurat dengan alasan, bahaya suatu masa nanti dia akan menutup aurat secara sempurna. Ada juga yang berkaitan dengan sistem, seperti keikutsertaan kelompok kaurn muslimin dalam sistem yang ada, yang nyata tidak berdasarkan Islam, dengan alasan bahawa ia bukanlah maksud yang sebenar, melainkan semata-mata menjadi sarana atau teknik dan taktik untuk meraih kekuasaan agar nanti membolehkan hukum Islam diterapkan. Kaedah yang digunakan adalah (12) :

Maala yudraku kulluhu, laa yutraku jalluhu (Apa yang tidak dapat diraih semuanya tidak semestinya ditinggalkan semuanya)

Metod ini dapat dianggap sama dengan metod-metod sebelumnya, sama-sama merupakan metod ta’kulan (akal), bukan metod syarak. Kekeliruannya dapat dikembalikan kepada tiga alas-an :

Pertama, Metod ini jelas mencampuradukkan antara perkara yang haq dengan yang batil, dengan alasan darurah (terpaksa kerana berdepan dengan bahaya), walhal tindakan ini jelas-jelas diharamkan oleh al-Qur'an (Al-Baqarah : 42).

Kedua, tasamuh (bersikap sabar) terhadap kemungkaran, dalam rangka menghindarkan bahaya yang lebih besar untuk meraih maslahat jangka panjang yang lebih besar, walhal tindakan ini diharamkan oleh nas as-Sunnah (13). Ketika, tiada lagi tadarruj dalam penerapan Islam setelah syariat Islam disempurnakan oleh Allah. Kesalahan ini berlaku kerana tidak dibezakan antara takwin (proses pembentukan hukum) dan tadbiq (penerapan). Zaman Rasulullah adalah zaman takwin, sehingga idea tadarruj menemukan bentuknya, tetapi setelah turunnya surah al-Maidah (05) : 03, tiada lagi tadarruj selain penerapan hukum secara utuh.






...bersambung (Bah. 3)






Rujukan ()






(3) Bukhari, Sahih, hadis no. 25, Muslim, Sahih, no. 22. Semuanya dari Ibn Umar.
(4) Bukhari dan Muslim, dalam Allisykatal-Alasabih, hadis no. 3666.
(5) Ibn Hisyam, Sirah Nabawiyah, Juz 1, hlm. 405.
(6) Muslim, Sahih, Syahr Sahih Muslim li an-Nawawi, Juz XII, hlm. 229.
(7) Istilah manat ini ditakrifkan oleh Mu’jam Lughat al-Fuqaha' dengan ‘ilIat. Akan tetapi, as-Syatibi menggunakannya untuk menerangkan sifat keadaan objek yang dihukumi oleh hukum syarak. Oleh kerana itu, beliau menyebutnya dengan sebutan nazariyyah lawan dari naqliyyah. Maksudnya, untuk memahami manat mesti melalui penelitian dan analisis terhadap sifat keadaan objek yang dihukumi oleh hukum syarak. Contohnya, ketika sescorang hendak melaksanakan hukum wuduk, ia mesti memastikan berdasarkan hasil penelitiannya, bahawa air yang digunakan merupakan air yang suci dan mensucikan. Penelitian sifat keadaan objek inilah yang beliau sebut manat. Bertolak dari sini, dalam konteks ini digunakan istilah manat. Lihat, as-Syatibi, al-Muwafaqat, Juz III, hlm. 31-32, Dr. Rawwas Qal'ah Ji, Mu’jam Lughat al-Fuqaha’, hlm. 431.
(8) Dr. Utsman Khalil Utsman, ad-Dimuqratiyyah al-Islamiyyah, hlm. 30.
(9) Ibn Hisyam, Sirah, Juz I, hlm. 401
(10) Kaedah berkenaan diambil dari huraian Ibn al-Najim yang membahas kaedah darar (bahaya). Kaedah ini merupakan taqyid ketentuan untuk meghilangkan bahaya, iaitu: Pertama, jika ada dua bahaya, yang satu lebih berat daripada yang lain, maka yang lebih berat, mesti dihilangkan dengan yang lebih ringan. Kedua, jika ada dua kerosakan, wajib diperhatikan yang lebih besar bahayanya dengan mengambil yang lebih ringan di antara keduanya. Lihat: Ibn al-Najim, al-Asybah wa an-Nazair, hlm 88-90.
(11) ‘Ata' bin Khalil, Tasyri’ al-Wusul Ila al-Usul, hlm. 21-22.
(12) Dr. Muhammad Khair Haikal, al jihad wa al-Qital, Juz I, hlm. 735
(13) AI-Bazzar dan at-Tabrani dari Abu Hurairah. Lihat: as-Suyuti, al-Jami' as-Saghir, hadis no. 7224, Juz II, hlm. 401






Sumber : Jurnal Liwa' Ul-Haq, 2001

Tiada ulasan: